CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, July 16, 2008

Antara Fantansi dan Realiti....lu fikirlah sendiri!

Assalamualaikum semua. Malam tadi Dara terima sms dari jantan cool yang bertanya kenapa Dara dah lama tidak menurunkan kata-kata didalam blog Dara ini.
Untuk pengetahuan semua, bukan Dara dah kekurangan idea atau buntu untuk menulis. Sebenarnya, banyak yang ingin diperkatakan dan diperdebatkan namun disebabkan senario negara terkini yang agak kelam kelibut sedikit maka Dara lebih suka mematikan diri seketika sambil menjadi pemerhati demi untuk memastikan realiti mengatasi fantasi.
Dara rasa sandiwara politik masakini lebih banyak fantasi dari realiti. Fantasi kalau diilusikan dalam bahasa yang mudah samalah seperti angan-angan. Hidup kita ni memang banyak angan-angan. Dara pun pada zaman kanak-kanak dulu pun memang suka berangan. Walaupun tahu gunung yang nak dikejar mungkin tak kesampaian namun keindahan mimpi yang diimaginasi sekurang-kurangnya dapat menjadi sumber inspirasi diri.
Dara rasa menjelang pemilihan UMNO yang akan bermula tidak lama lagi, ramai orang-orang UMNO dan mula berfantasi. Dari ahli biasa yang dibawah sehinggalah ahli-ahli tertinggi yang di atas, semuanya pasti telah mula berfantasi dan melayani mimpi indah tersendiri. Dalam keadaan susur galur carta-carta kepimpinan UMNO yang agak kabur dan tidak teratur ini, Dara pasti ramai ahli-ahli UMNO kini dah mula berangan dan berfantasi untuk merebut pelbagai jawatan. Maklumlah dimusim tarik-tali begini, sokongan disegenap penjuru amatlah diperlukan. Tali yang kuat bukan semestinya menjadi penentu kemenangan. Apa yang penting tangan siapa yang menggengam, tangan siapa yang digenggam, tangan siapa yang menarik, tangan siapa yang kena tarik dan tangan mana yang bakal dicarik...itulah yang kita kena halusi dan bertanya kepada diri kita sendiri!
Baru-baru ini ahli-ahli UMNO dikejutkan (Dara tidak terkejut langsung) oleh Pak Lah mengenai peralihan kuasa yang telah dirancang dan turut dipersetujui oleh orang nombor dua UMNO. Dara sukar untuk mengerti apakah rasional Pak Lah untuk mengumumkan peralihan kuasa yang hanya akan berlaku pada tempoh dua tahun yang akan datang. Dalam keadaan tekanan hidup yang semakin tinggi ini, tempoh dua tahun itu sememangnya terlalu panjang dirasakan.
Dalam hidup ini memang lah kita digalakkan untuk merancang kerana kaedah merancang adalah satu tindakan yang terbukti baik dan berkesan. Dalam perkahwinan pun kita digalakkan untuk merancang keluarga, inikan pula pentadbiran negara...semuanya harus dirancang dan dihalusi dengan sebijak-bijaknya. Sekiranya tersilap perancangan maka haru-birulah jadinya. Walaubagaimanapun, perancangan tidak semestinya menjanjikan kejayaan! Sebagai orang islam kita harus percaya kepada Qada dan Qadar...adakalanya apa yang dirancangkan oleh kita tidak semestinya menjadi realiti. Perancangan yang tidak bijak atau terburu-buru boleh membawa kepada bencana dan malapetaka.
Pada hemat Dara, pengumuman oleh Perdana Menteri kita pada baru-baru ini mengenai pengunduran dan penggantinya pada 2010 adalah lebih menjurus kepada permintaan kepada semua ahli-ahli cawangan dan bahagian untuk tidak mempertandingkan jawatan nombor satu dan nombor dua. Permintaan yang lebih merupakan kepada peringatan bahawa tidak ingin melihat ahli-ahli dan parti berpecah merupakan satu alasan yang Dara lihat lebih menjurus kepada kepentingan peribadi dan periuk nasi sendiri. Dara pasti disaat ini ramai ahli-ahli UMNO yang masih didalam awang-awangan dan tidak pasti akan halatuju yang patut diikuti. Walaupun ada suara-suara yang bergema untuk menuntut peralihan dilaksanakan secepat mungkin namun akan terdapat tangan-tangan tersembunyi yang menutup suara-suara ini. Tangan-tangan ini bukan sahaja akan menutup mulut bahkan akan turut menaburkan segala jenis haruman dan air renjisan yang amat bermakna kepada semua ahli-ahli. Haruman dan renjisan yang berkilau-kilauan ini akan menutup segala mata dan telinga ahli-ahli.
Di musim pemilihan ini, renjisan dan haruman yang kuat dan power sahaja akan mendapat sokongan. No money no talk! Itulah yang dapat Dara simpulkan apabila musim pemilihan menjelang tiba. Mana-mana ahli yang dan buncit dan kenyang akan bertambah-tambah gedebab gedembullah apabila direnjis di musim pemilihan nanti. Saudara-saudara semua jangan sampai tersungkur sudahlah ya! Maklumlah makan benda-benda yang tak berkat ni banyak mudaratnya...
Di sini Dara ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya kuat semangat dan jangan mudah terpengaruh dengan janji-janji pemilihan. Kita harus bijak dalam membuat keputusan. Kita tidak perlu takut dan tunduk kepada tekanan. Apa yang lebih penting pada masa ini adalah kemakmuran dan kebenaran. Ekonomi negara kita walaupun diuar-uarkan stabil dan terjamin namun hakikatnya inflasi semakin mencengkam. Perbelanjaan Dara sendiripun semakan hari semakin bertambah. Sebenarnya, apa yang didebatkan oleh Datuk Seri Anwar ada kebenarannya. Harga minyak yang dinaikkan pada baru-baru ini memang amat terasa oleh kita semua. Walaupun Kerajaan berkata ini adalah langkah untuk mengelakkan si kaya daripada mengambil harta si miskin, namun rasanya rakyat biasa tidak perduli apa yang berlaku pada si kaya...Kita rakyat jelata hanya ingin meneruskan kehidupan. Walaupun pelbagai alasan diberi namun tempias yang teruk dirasai ialah rakyat biasa sendiri. Dara rasa sebelum sesuatu dasar itu dilaksanakan, Kerajaan harus memikirkan kaedah yang terbaik demi menjaga kepentingan semua golongan.
Keadaan harga yang tidak terkawal dan tekanan hidup yang semakin tinggi memerlukan pemimpin yang berani dan bijak mengawal situasi. Kepimpinan yang sememangnya lemah akan menjadi lebih mudarat sekiranya tidak dirawat!
Tetapi biasalah, mentaliti orang kita memang susah untuk diduga... hari ini kata lain, esok mungkin kata lain...hari ini kata sokong esok mungkin tak sokong..apa nak jadi? Lu fikirlah sendiri...

0 comments: